bahasa dalam blog

rangkaian peristiwa dalam catatan

Saturday, July 29, 2006

peringatan sabar

HAI ORANG YANG BERIMAN,
JADIKANLAH SABAR DAN SEMBAHYANG SEBAGAI PENOLONGMU.
SESUNGGUHNYA ALLAH BERSERTA ORANG YANG SABAR -
MAKSUD AL-QURAN (AL-BAQARAH)
hmm... nak letak di palang tepi lah...

Thursday, July 27, 2006

puisi lagu

aku suka dengar lagu. lagu yang sedap kedengaran iramanya ditambah pula dengan lirik yang sesuai boleh menjadikan lagu itu satu tarikan. aku tak berapa minat dengan lirik lagu yang berjiwa-jiwa. tapi kadangkala, lirik yang begitu kalau dipadankan dengan irama yang sesuai, boleh jadi menarik juga.

tak payahlah aku nyatakan lagi betapa aku meminati bakat m nasir. lirik lagu-lagunya selalu buat orang berfikir. tapi dia tak lokek, kalau ada lagunya yang baik, dia serahkan saja pada penulis lain untuk menyumbangkan lirik mereka.

agaknya sebab itu, dia digelar 'sifu'. selalu saja memberi peluang pada bakat lain walaupun dia sendiri mampu memberikan yang terbaik.

pada penghujung tahun 80-an, ada sebuah lagunya yang aku suka sangat. masa tu memang lebih banyak lagu 'rock' berkumandang di radio. tapi pada masa itu jugalah dayangku intan terkenal. aku suka suaranya yang bertenaga dan serak-serak basah tu.

bila aku dengar lagu ni di radio ketika tu, bulu roma ternaik. haha. lagu merdu, lirik syahdu dan suaranya pula bak buluh perindu! gabungan yang sungguh baik. agaknya tak ramai orang yang tahu lagu ini. sayang, aku tak ketemukan lagunya di internet. kalau tidak boleh lah para pembaca (ya, kedua-dua anda! hahah) menikmatinya. tak apa, baca sajalah dan bayangkan suara dayang dengan melodi lagu m nasir! haha.

lirik lagu ni aku suka sebab walaupun ianya puitis, ia taklah berjiwang sangat sampai tangkap lentok. selamat menghayati ya!

Dayangku Intan (M Nasir / Usop)
Rintik Hujan Di Kelopak Mawar

Gerimis telah berhenti mentari menyinar
Menerbitkan pelangi
Indahnya suasana
Rintik hujan di kelopak mawar
Punyai sejarah antara dua insan
Yang sehati sejiwa

Bagaikan sepasang rama-rama berseloka
Bebas berterbangan menikmati keindahan alam
Yang direstui
Tiada sangsi
Bersemilah cinta yang sejati
Tiada apa yang dapat memisahkannya
Pada Tuhan diserahkan

Siapa bisa menduga takdir menentukan
Bunga mawar dipuja layu di tapak tangan

Apa yang tertinggal hanya bayang meresahkan
Telah bersemadi sebuah cinta
Amat memilukan
Yang ada kini pusara sepi
Lambang kesucian sebuah hati
Teramat indah tiada yang dapat mengganti

Friday, July 21, 2006

Hari Terakhir!

Wohoho! Begitu cepat waktu berlalu. Aku ghairah tentang penyertaan dua orang rakanku ke pertandingan blog bahasa melayu anjuran bulanbahasa2006.com.

Kedua-duanya telah berusaha untuk menulis dengan sungguh-sungguh. Isi blog mereka menarik jadi aku yakin mereka berpeluang untuk menang. :)

Friday, July 14, 2006

Khidmat dengan Senyuman

Singapura akan menjadi tuan rumah kepada mesyuarat Bank Dunia dan Pertubuhan Kewangan Antarabangsa pada bulan September nanti. Bersempena dengan ini, setiap orang pasti tahu tentang kempen 'Empat Juta Senyuman' yang sedang berlangsung di sini sekarang. Tujuannya adalah untuk memberikan sambutan yang ceria kepada para tetamu dari seluruh pelusuk dunia nanti.

Pada masa yang sama, aku juga perasan bahawa gerakan bagi 'Melangkah Lebih Jauh untuk Perkhidmatan' (Go the Extra Mile for Service) kembali merancakkan promosi mereka melalui iklan di tv.

Kelmarin aku telah pergi makan tengahari di sebuah restoran. Setelah makan, kami tuju ke kaunter untuk membayar bil. Ya, kami tak minta bil dihantar kepada kami dari tempat duduk. Fikir kami, tentulah lebih cepat jika terus ke kaunter. Namun, bila tiba di kaunter, kami terpaksa menunggu lama. Nampaknya si cashier telah mengira bil dari para pelayan yang lain. Pastinya dari para pelanggan yang minta bilnya dihantar ke tempat duduk.

Dengan bersahaja, aku mengatakan pada kawanku, “Sepatutnya kita dilayan dulu, sebab kita langsung ke sini.”

Si cashier mungkin terdengar kata-kataku tadi dan dengan pantas memproses bil kami sambil berkata dengan kuatnya pesanan-pesanan kami sebelumnya dan menyatakan harga bayaran yang dikenakan. Ditambah pula dengan muka yang masam mencuka! Hai, begitu sekali marahnya, dik?

Memanglah aku hanya catitkan satu contoh saja di sini. Tapi tak payahlah aku ceritakan semua. Anda sendiri tentu pernah alami situasi yang serupa.

Nampaknya kempen-kempen yang aku nyatakan tadi belum lagi ditekankan kepada semua lapisan di dalam industri perkhidmatan. Aku rasa kalaulah kita hendak menampilkan sikap yang baik secara amnya dan dalam industri perkhidmatan khususnya, patutlah kita mula dengan para pelanggan di antara rakyat sendiri dulu.

Industri Perkhidmatan rasanya masih lagi bertatih dalam memberikan layanan yang baik kepada para pelanggan apa lagi untuk melangkah jauh!

Tuesday, July 11, 2006

Anda mahu Rock?

Rock Star Supernova ialah musim kedua Rock Star. Ianya ditayangkan di channel Star menerusi kabel.

Lima belas peserta bertanding untuk menjadi penyanyi utama kumpulan Supernova sebuah kumpulan rok baru yang dianggotai oleh Tommy Lee(pemain drum - Motley Crue), Gilby Clarke (pemain guitar - Guns n' Roses) dan Jason Newsted (pemain bass - Metallica) yang sekaligus adalah para pengadil/pengkritik kepada peserta. Tommy Lee ialah bekas suami aktress Pamela Anderson sekiranya anda tidak tahu!

Asasnya, ia adalah sebuah peraduan nyanyian tetapi nyanyian rok! :) Pada akhir bahagian pertama rancangan, 3 peserta ditempatkan di tangga terbawah. Mereka kemudiannya diberi peluang di dalam bahagian kedua rancangan(siri kedua), untuk membuat persembahan sekali lagi dengan pilihan lagu mereka sendiri. Ketiga-tiga pengadil buat keputusan di akhir rancangan untuk memutuskan seorang dari peserta terkeluar dari pertandingan.

Seronok melihat para peserta jamming di pentas seperti sebuah konsert rok. Gerek beb!

Selepas dua tayangan, aku sudah pun ada favoritku sendiri. Dari segi suara, pada tahap ini, Josh dan Toby nampaknya boleh tahan. Aku sukakan Josh Logan tetapi lagu yang dinyanyikannya tidaklah begitu rok. :p. Dari segi gaya pula, dia santai sahaja. Toby Rand pula telah menyanyi dengan baik. Lukas Rossi pula telah memberikan persembahan yang begitu bertenaga dengan penampilannya yang memang terserlah roknya! Tak hairan bahawa dia adalah peserta hot favorit buat masa kini. Bagi peserta wanita pula, Dilana rocks! Cukup sekadar itu!

Peraduan ini dihos oleh peragawati Brooke Burke dan hos sampingannya Dave Navarro (juga pemain guitar dan pernah menganggotai Red Hot Chilli Peppers) yang juga turut memberikan pandangannya tentang kebolehan para peserta. Ramai yang mungkin kenal Dave sebagai suami aktress Carmen Electra.

Rock Star musim pertama ialah Rock Star INXS. Pemenangnya JD Fortune tu sungguh hunky dan memang mantap nyanyiannya. Beliau memang patut menang kerana persembahannya yang bertenaga dan punyai hubungan yang jitu dgn ahli kumpulan pemuzik ketika persembahan. Konsert mereka akan berlangsung di sini pada 17 Ogos di Fort Canning Park! Aku nak pergi!!
gambar oleh : sistic.com.sg

Jaguh dan lawannya

Berakhirlah sudah Piala Dunia dengan Itali sebagai juaranya. Tak hairanlah jika ramai yang berjaga malam untuk menyaksikan pertandingan yang mencipta sejarah. Aku juga tidak ketinggalan menonton walaupun berjaga malam sendirian.

Berbaloi juga sebab pertandingan kelmarin memang penuh dengan aksi. Kecewa melihat Zidane dihantar keluar dengan keadaan yang amat memalukan. Tak sangka beliau yang selalunya cool boleh bertindak sedemikian. Namun, keadaan tekanan yang meruncing mungkin menyebabkan beliau berkelakuan begitu. Kita tidak tahu (dan mungking tidak akan tahu) apa yang telah dilakukan Materazzi sehinggakan Zizou hilang sabar.

Seronok betul melihat pasukan juara meraikan kemenangan mereka di padang. Sedang pasukan France dilanda kesedihan sambil menyaksikan Itali yang sebaliknya di dalam ekstasi. Perbezaannya sungguh ketara di antara kedua-dua pasukan.

Di dalam kegembiraan Itali, teringat pula di masa sekolah semasa kumpulan Dikir Barat kami memenangi pertandingan. Tidak keterlaluan sekiranya aku katakan bahawa perasaan kumpulan Itali setanding dengan apa yang kami rasakan pada masa itu. Terlalu gembira! :)

Kami berpeluk-peluk dan berlompat-lompat. Sehinggakan ada yang berdiri di atas kerusi! Ini tentulah kerana terlalu gembira yang amat sangat! Cuma, semasa kemenangan kami tidaklah di depan jutaan penonton dan tidaklah semeriah sehinggakan stadium dipenuhi konfeti! hahah.

Inilah yang diimpikan setiap yang bertanding. Perasaan kegembiraan yang meluap-luap ketika berjaya. Walaubagaimanapun, yang kalah tidaklah perlu terlalu gundah. Memang senang menyatakan ini kerana yang memikul sedih bukanlah diriku sendiri. Cuma inginku nyatakan, jika tidak ada yang kalah, tentulah tidak ada pemenang. Syabas kepada yang bertanding kerana punyai semangat untuk tampil ke hadapan!

Friday, July 07, 2006

7 istimewa

Di dalam majlis perkahwinan seorang teman akrabku, aku telah bertemu dengan seorang rakannya. Kami belum pernah berkenalan sebelum itu tetapi si pengantin memang banyak bercerita tentang rakan-rakannya kepadaku dan rakan-rakan sekumpulan kami. Jadi setelah memperkenalkan diri masing-masing aku terus rancak berbual seakan-akan sudah kenal lama dengan S.

Entah apa yang kami bualkan tetapi aku pasti kami telah menyentuh tentang hal perkahwinan. Haha. Baru aku perasan. Tidak hairanlah kami bualkan topik itu memandangkan memang kami sedang berada di sebuah majlis pernikahan!

S memberitahu bahawa dia sudah lama berkahwin. Kemudian dia menyentuh tentang tahun perkahwinan yang ketujuhnya. Dia katakan bahawa sebelum tiba ulangtahun perkahwinannya yang ke-7 itu, ibu mertuanya, seorang pakar psikologi telah berpesan padanya agar berwaspada pada ulangtahun perkahwinan yang ke-7nya. Dia percaya benar akan adanya fenomena '7 tahun yang menggoda' atau dikenali dengan 'The Seven-Year Itch'.

S mendedahkan bahawa memang pun di dalam tahun ketujuh perkahwinannya, dia seakan merasa rumahtangganya tidak utuh lagi. Namun, alhamdulillah, perasaan itu tidak berlarutan dan dia hidup bahagia dengan pasangannya sehingga kini.

Pada dasar teorinya, fenomena ini bermakna sesuatu krisis yang besar akan melanda rumahtangga. Ianya adalah tahun di mana, pasangan suami isteri itu akan merasa bosan dengan pasangan masing-masing dan inginkan sesuatu yang baru. Tidak semestinya pasangan itu mahukan pasangan yang baru, tetapi keinginan akan perubahan mungkin akan menjejas unit keluarga itu.

Aku tidaklah terlalu memikirkan erti kata frasa 'The Seven Year Itch' itu. Tapi memang frasa itu seakan-akan ada tersimpan di dalam benakku. Maklumlah, sebut saja kekata itu, pasti terbayang poster terkenal Marilyn Monroe dengan skirtnya yang berkibar ke atas sementara beliau berdiri di atas pembukaan bawah tanah! :)

Tahun ini adalah tahun perkahwinanku yang ketujuh. Ya, tahun keramat itu sendiri! Tidak dinafikan, fikiranku seperti telah terpukau dengan frasa ini. Namun aku telah lama mengingatkan diriku bahawa masalah akan timbul bila-bila masa saja. Tak payah menunggu tujuh tahun! ;p

Walaubagaimanapun untuk menolak ketepi fenomena ini adalah sesuatu yang agak naif, pada fikiranku. Dalam artikel ini) , ada menyebut tentang median jangka hayat sesebuah perkahwinan sebagai 7.2. Benar, statistik itu mungkin hanya sah bagi penduduk Amerika saja. Bagi penduduk Asia yang sememangnya lebih konservatif dan memandang keji kepada penceraian (walaupun sukar untuk katakan sedemikian di zaman ini), mungkin menarik jika kajian dilakukan keatas kebahagiaan rumahtangga di dalam hayat perkahwinan mereka.

Membaca artikel ini pula, membuatkan aku sedar bahawa ianya adalah sesuatu yang benar-benar berlaku. Si penulis memberikan gambaran tentang perkahwinannya sendiri yang dilanda masalah dalam tahun ke tujuhnya. Pembukaan artikelnya di mana beliau menyatakan sel manusia bertindak untuk memperbaharui dengan sendirinya pada tiap-tiap 7 tahun sangat menarik perhatianku.

Kenapa pula tahun ketujuh sel berganti? Pelik, memang pelik. Tiba-tiba aku terfikir tentang keistimewaan angka ini. Aku yakin ada sesuatu rahsia yang tersirat di dalam nombor tujuh.

Raja Mesir pada zaman Nabi Yusuf a.s. telah bermimpi dengan angka 7 yg mimpinya telah ditafsirkan Nabi Yusuf a.s. sebagai 7 tahun subur yang digantikan pula dengan 7 tahun musim kemarau. Orang Islam percaya akan adanya tujuh petala langit. Yang paling sering disebut-sebut adalah 7 ayat yang diulang-ulang iaitu basmalah. Subhanallah!

Oh! Nampaknya dengan post ini aku telah berusaha untuk meyakinkan diriku sendiri supaya berwaspada dalam menjaga rumahtanggaku terutamanya tahun ini. Aku tawakkal. Semoga Allah melindungi rumahtanggaku yang aku sayangi. Amiin.

Wednesday, July 05, 2006

Pulang ke asal

Kebanyakan orang berpendapat anak-anak kecil mereka tidak fasih berbahasa Melayu. Tapi bila aku dengarkan perbicaraan mereka yang sepatutnya lebih selesa berbahasa Inggeris, hmm... aku tidak berasa kagum. Sebabnya, anak-anak ini tidak pula berbahasa Inggeris dengan baik.

Semasa di sekolah rendah dahulu, guruku pernah berkata, jikalau berbicara dalam bahasa Inggeris, bicaralah dengan betul. Begitu pula jika bertutur di dalam bahasa Melayu. Bertuturlah dengan bahasa Melayu yang baik. Jangan sekali-kali campur-adukkan kedua-dua bahasa ini dalam pertuturan kita. Dengan cara inilah kita dapat menguasai kedua-dua bahasa dengan baik.
Aku setuju dengan pendapat ini. Namun apabila tiba waktu untuk mempraktikkannya dengan anak-anakku, ia adalah suatu perkara yang agak sukar dilakukan. Aku terpaksa sering hati-hati dan memastikan secara sedar supaya aku tidak terlepas kata di depan mereka. Aku mengaku, memang aku sendiri sering berbahasa Singlish bila berbicara dengan rakan-rakan. Walau bagaimanapun, demi untuk menerapkan sesuatu yang begitu asas bagi anak-anakku, terpaksalah aku awasi perbicaraanku.

Paling tidak, biasanya aku akan ulangi perintahku kepada mereka dengan terjemahannya sekali. Nampaknya memang mereka lebih banyak berbahasa Inggeris. Ini tidak hairan kerana di sekolah di mana banyak masa mereka dihabiskan dan juga di mana mereka sering mendengarkan kata-kata guru, bahasa Inggerislah yang lebih berkuasa.

Di rumah pula, mereka memang sering berbual di dalam bahasa Inggeris denganku. Aku saja yang kadangkala berbicara di dalam bahasa Melayu walaupun sedikit di dalam keadaan yang telah aku nyatakan sebentar tadi. Mujurlah, ada ibuku di rumah. Dengan beliaulah, anak-anakku berbicara bahasa Melayu.

Aku senang dengan aturan yang tidak secara langsung memberikan kelebihan kepada anak-anakku ini. Aku harapkan semoga dengan apa yang mereka hadapi ini akan dapat menolong mereka menguasai kedua-dua bahasa agar mereka tidak lupa akan asal-usul mereka, insya Allah.

Monday, July 03, 2006

Permulaan

Rasanya kelahiran blog dalam bahasa melayu ini hanya menunggu masa bagiku. Pernah sekali aku terbaca sebuah blog yg dilakarkan dalam bahasa Melayu. Isinya biasa saja tetapi oleh kerana ianya dicatatkan di dalam bahasa Melayu, aku amat tertarik sekali. Maklumlah, bahasa Melayu ini jikalau digunakan dalam penulisan memanglah indah sekali. Sayang sekali aku sudah terlupa nama website yang pernah aku kunjungi itu. Jika tidak sudah tentu aku akan menyarankan penulisnya untuk menyertai pertandingan blog yang sedang berlangsung bagi menyambut Bulan Bahasa 2006.

Sudah tentu, faktor yang menyemarakkan lagi niatku ini adalah hasil blog dari teman akrabku sendiri yang sudah pun memulakan blog barunya di sini.

Baiklah, aku sendiri tak pasti berapa lama blog ini akan bertapak. Sedangkan blogku yang satu lagi saja kadangkala terbengkalai disebabkan aku sering kehausan idea. Eh, nanti! Sebenarnya bukan lah terlalu sangat kering idea tetapi aku malas nak post entry. Haha!

Sampai di sini saja untuk lakaranku yang pertama. Sehingga nanti!